Hari ini kami nak berikan anda resepi ikan siakap 3 rasa. Kalau sebelum ini anda kecewa order di kedai sebab hanya banyak minyak atau rasa sos cili je yang lebih dengan sos tomato , memang resepi ini khas untuk anda bagi mencari rasa kuah yang sangat sesuai untuk dipadankan dengan ikan siakap.
Kalau malas guna ikan siakap, boleh je anda guna pelbagai jenis ikan lagi antaranya ikan kerapu, anak ikan jenahak, ikan sebelah atau sebagainya. Tapi anda memerlukan satu tips penting ini.
Oleh sebab ikan yang digoreng mudah menyebabkan kulit ikan tercabut ,caranya adalah dengan selaputi lapisan nipis tepung jagung pada bahagian luar dan dalam ikan. Tak perlu tebal pun lapisan ini pada resepi ikan siakap 3 rasa ni.
BACA DI LINK BARU : Resepi Biskut Badam Premium Yang Menggoda Selera Para Tetamu
Dengan cara ini, ikan yang digoreng cantik bentuknya serta hasilkan rasa rangup di luar tetapi isi terasa sangat lembut di bahagian dalam.
Terima kasih kepada Puan Sania Weina di atas sumbangan resepi ikan siakap 3 rasa ni. Memang sedap dan menyelerakan sos 3 rasa ni. Kalau tak de ikan siakap, nak guna apa-apa ikan atau seafood lain macam ketam ke sotong ke udang pun boleh. Best kan.
Sukatan bahan 3 rasa ini boleh diguna pakai pada 2 ekor ikan saiz 1kg. Kalau lebih, simpan je dalam peti.Nanti senang hanya goreng je ikan lain sebab kuahnya dah ada kan.
Bahan Resepi Ikan Siakap 3 Rasa :
- 2 ekor ikan saiz medium
- 1 sudu teh garam
- 1/2 lada sulah
- Tepung jagung
Kelar dan gaul ikan siakap dengan garam dan juga lada sulah. lepas tu ambik tepung dengan tangan kering dan taburkan di atas permukaan ikan bagi bentukkan lapisan nipis.
Panaskan minyak di dalam kuali secukupnya dan goreng ikan hingga masak. Boleh guna teknik api sederhana besar untuk 3-5 minit pertama setiap bahagian untuk rangupkan bahagian luar ikan siakap sebelum api dikecilkkan sedikit supaya bahagian dalam masak secukupnya.
Angkat dan toskan ikan.
Bahan Sambal Ikan Siakap :
Bahan Kisar :
- 1 biji bawang merah India besar
- 6 tangkai cili merah besar
- 5-6 tangkai cili padi ( ikut tahap kepedasan anda )
- 3 batang serai sederhana
- 2 ulas bawang putih
- Sedikit akar daun ketumbar
Bahan Lain :
- 4-5 sudu makan cili kisar
- 1 sudu makan sos tomato
- 1 1/2 sudu makan sos cili
- 1/2 sudu makan sos ikan ( nampla )
- 1/2 sudu makan air limau
- 2-3 helai daun limau purut dihiris nipis
- 1 sudu makan madu
- 6-7 biji tomato cherry kecil
- Sedikit hirisan daun ketumbar
- Minyak untuk menumis
- Garam secukupnya
- Sedikit air
Cara Penyediaan Resepi Ikan Siakap 3 Rasa :
#1: Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga kekuningan dan naik bau. Baru masukkan cili kisar dan biarkan pecah minyak. Barulah tambahkan sos tomato,sos cili,air limau dan juga sos ikan. Letak madu dan garam.Tambahkan air sedikit.
#2: Bila kuah dah masak sebati dan kembali memekat, masukkan daun limau purut,tomato ceri dan juga sedikit daun ketumbar.
#3: Angkat dan tuang sambal yang dah masak ke atas permukaan ikan.Tabur baki daun ketumbar. Siap sedia untuk dihidangkan.
Memang sedap betul la resepi ikan siakap 3 rasa camni. Boleh la anda cuba. Kalau nak masukkan nenas ke bahan lain, boleh je asalkan kena dengan selera anda. Selamat mencuba.