Bila sebut sahaja resepi seri muka, terus terbayang kuih yang mempunyai dua lapisan iaitu lapisan bawah mengandungi pulut dan lapisan atas yang lembut serta sedikit manis bagi mengimbangi rasa tawar pulut.
Hari ini kami berikan resepi seri muka yang cukup rasa lemaknya dengan tips untuk dapatkan permukaan atas yang cantik dan licin. Anda boleh tengok video tutorial di bawah yang kami sediakan ya.
Tips berbaloi untuk anda cuba untuk kuih seri muka ini :
1- Untuk beras pulut, sebelum kukus pastikan anda rendam terlebih dahulu beras nya sekitar 40-1 jam sebelum kukus ya. Ini bantu proses memasak pulut lebih cepat dan hasilnya pulut menjadi lebih lembut.
2- Untuk dapatkan permukaan lapisan kuih seri muka yang licin dan cantik, masak sekejap adunan atas sekadar bila periuk dah panas,tutup api lepastu baru tuang atas lapisan pulut yang dipadatkan.
BACA DI LINK BARU : Resepi Nasi Minyak Dengan Ayam Masak Merah Dan Daging Masak Hitam
3- Gores permukaan pulut supaya lapisan atas melekat dengan cantik pada permukaan pulut.
4- Kukus dengan api besar selepas di akhir proses dengan buka penutup periuk untuk keringkan air di lapisan atas seri muka.
Kuantiti di bawah cukup untuk dimakan 4-6 orang ya.
Bahan Resepi Seri Muka Istimewa :
Lapisan Bawah:
- 1 cawan beras ulut yang direndam 1 jam
- 1 1/2 cawan santan cair
- 1/4 sudu teh garam
- 1 helai daun pandan simpul
Cara Penyediaan Lapisan Bawah Seri Muka :
#1: Rendam beras pulut dan toskan. Masukkan santan cair dan juga garam. Kacai sebati. Guna loyang saiz 6-8 inci. Alas permukaan loyang dengan plastik untuk mudah dikeluarkan kuih seri muka di akhir proses nanti.
#2: Masukkan daun pandan simpul dan kukus selama 30 minit menggunakan api besar. Buang daun pandan dan biarkan 5 minit. Barulah tekan padat lapisan pulut dan gores permukaannya supaya melekat dengan lapisan atas.
Sementara mengukus pulut, buat untuk lapisan atas. Boleh tengok video tutorial di bawah.
Lapisan Atas Resepi Seri Muka :
- 1 1/2 santan pekat
- 1 1/2 telur ayam gred A
- 1/4 sudu teh garam
- 1/2 sudu makan tepung kastard
- 1/2 cawan gandum
- 1/2 cawan gula
- 5 helai daun pandan
- 1/2 sudu teh esen vanilla
- Sedikit pewarna hijau epal jika mahu
Cara Penyediaan Lapisan Atas Seri Muka :
#1: Kisar daun pandan menggunakan santan tadi sedikit.Tapis dan cukupkan semula 1 1/2 cawan.Boleh letak air jika nak cukupkan sedikit.
Satukan semua bahan di dalam kuali/periuk.Kacau sebati semua bahan dan barulah letak atas api sambil terus dikacau.
#2: Tutup api bila bahagian dalam periuk sudah panas. Tapis jika mahu adunan ini ke atas permukaan pulut yang siap digores. Tuang adunan melalui senduk kayu barulah turun ke permukaan pulut untuk elakkan lapisan pulut bocor.
#3: Sambung kukus untuk 30 minit lagi menggunakan api sederhana kecil. Seterusnya buka tudung pengukus dan kukus dengan api besar selama 5 minit untuk keringkan air jika ada dan supaya masak sekata.
Siap resepi seri muka. Untuk dapatkan potongan cantik,pastikan kuih seri muka anda telah sejuk betul dan barulah dipotong. Pastikan lap bersih pisau setiap kali potong kerana pulut akan buatkan pisau melekit.
Boleh gunakan pisau plastik atau pisau besi ya. Selamat mencuba dengan tips yang diberikan.</>
VIDEO TUTORIAL RESEPI SERI MUKA :