Bagi anda yang ingin jamu tetamu untuk sebarang majlis kecil seperti majlis hari lahir atau majlis rumah terbuka, kami cadangkan anda cuba resepi soto ayam sebagai hidangan utama pada tetamu. Lengkap dan menyelerakan. Mana taknya, dalam semangkuk mee atau bihun soto, ada lauk ayam yang direneh sempurna, begedil, sambal kicap , daun sup, kacang tanah dan suhun goreng. Aduh , memang berbaloi baloi.
Kalau nak buat makan sendiri, cukup je buat resepi soto ayam simple yang mungkin anda malas buat begedilnya, malas goreng kacang tanah,tapi dah cukup mengenyangkan dan sedap. Tambahan lagi sekarang ada dijual rempah soto Mak Siti,memang lagi mudah lah.
Kalau anda rasa kurang kick, nak buat sendiri kuah soto, boleh je, Perencah utama adalah nisbah rempah kurma dengan rempah sup selain bahan kisar dan juga rempah 4 sekawan.
Untuk hari ini kami mahu berikan resepi soto sedap yang lengkap khas untuk anda, mulai daripada kuahnya, membawa kepada sambal kical , lepas tu begedil.Adui, memang tak sabar nak cuba. Lagi best sebab sukatan kami beri ini sesuai untuk 1 ekor ayam dan sekali buat.
Resepi soto ini kami dapat daripada Puan Rozainie dan Puan Mas Azura. Bergabung kedua-dua meletup kesedapan. Terima kasih.Kami cuba dan tambah kurang ikut citarasa kami.
Untuk mee, boleh guna mee kuning, bihun , nasi impit jika suka dan makan ea. Tiada masalah.
BACA DI LINK BARU : Resepi Lontong Johor Kuah Lodeh 2 Versi Kenduri Dan Harian.
Bahan Resepi Soto Ayam Sedap :
Bahan Kuah Soto dan Ayam :
- 1 ekor ayam dibelah 4
- 5 biji bawang merah saiz bola pingpong *
- 6 ulas bawang putih *
- 1 1/2 inci halia ( sedap guna halia muda ) *
- 1 inci kunyit hidup *
- 4 batang serai diketuk saiz sederhana kecil
- 50 gram / 2 paket 25g rempah kurma Babas
- 25 gram/ 1 paket 25g rempah sup Babas
- 3 ketul kiub ayam Knoor
- 1 pek sup bunjut tulang Adabi
- 1/2 cawan minyak untuk menumis
- Garam/msg/gula jika mahu
Kisar bahan bertanda *
Cara Penyediaan Kuah Soto Ayam :
#1: Panaskan minyak dan tumis rempah kasar yang terdapat dalam sup bunjut tulang. Bunjut ketepikan dulu. Bila dah naik bau, masukkan bahan kisar bersama serai ketuk. Tumis hingga pecah minyak.
Kecilkan api dan tambah pula rempah kurma dan rempah sup. Kacau biar pecah minyak.Kalau takut hangit boleh tambah sedikit air. Baru masukkan ayam 1 ekor yang dipotong 4.Tambah sedikit air hingga ke separuh bahgian ayam, tutup periuk dan reneh dalam 20 minit dengan api kecil.
Tambahkan sup bunjut bila ayam dah kecut,dan masukkan air dalam anggaran 1.5-2.0 liter. Kalau suka pekat, guna sikit, suka seang-sedang tambah jadi 2 liter. camtu.
#2: Masukkan kiub pati ayam dan teruskan mereneh sampai ayam masak dalam anggaran 15-20 minit lagi. Keluarkan ayam dan kalau kuah masih pekat, tambah lagi air ya. Perasakan dengan gula,garam dan Msg jika mahu dan ikut selera. Siap dah kua mee soto kita.
Bahan Sambal Kicap Soto Ayam Terbaik :
- 1 genggam cili padi ( kalau tak suka pedas sangat boleh campur dengan cili besar )
- 4 ulas bawang putih
- 4 sudu makan minyak
- 2 biji limau kasturi
- Kicap Manis jenama pilihan
Cara Buat Sambal Kicap Terangkat :
#1: Panaskan sedikit minyak dan goreng cili padi dengan bawang putih. Goreng biar sedikit garing tuk lagi terangkat aromanya dan hilangkan sedikit kepedasan.
Jangan lupa guna api kecil sebab dia melompat-lompat.hee Dah siap, masukkan dalam pengisar sekali dengan minyak goreng dia, air limau kasturi dan kicap secukupnya. Tak perlu letak air. Kisar dan lepas tu rasa. Tambah kicap/asam limau lagi jika perlu. Siap.
Bahan Resepi Begedil Untuk Resepi Soto Ayam Sedap :
- 2 biji kentang dipotong dadu
- 1 sudu makan hirisan daun sup
- 1 sudu makan hirisan daun bawang
- 1 sudu makan bawang goreng
- Minyak untuk menggoreng
- 2 biji telur ayam
Cara Buat Begedil :
#1: Kentang yang dipotong dadu digoreng bersama minyak hingga empuk. Goreng sikit-sikit. Bila dah empuk, masukkan dalam bekas,lenyek hancur baru campurkan bawang goreng daun sup,daun bawang .
Pukul telur ayam jadikan bahan celup. Bentukkan begedil jadi bulat-bulat, panaskan minyak dengan api kecil. Celupkan begedil ke dalam telur dan goreng hingga masak. Jangan goreng banyak-banyak sekaligus, cukup 3-4 biji sekali masuk. Ketepikan.
Dah nak siap dah resepi soto ayam sedap kita ni, tinggal kacang tanah goreng, suhun goreng dan sayur je.
Bahan Kacang Tanah Goreng Dan Cara Masak :
- 2 cawan kacang tanah
- 1/2 cawan minyak
Masukkan minyak ke dalam kuali dan kacang sekali gus. Jangan tunggu minyak panas baru masukkan kacang nanti kacang hangit dan meletop-letop. Biarkan ianya sama-sama panas dan masak dengan api kecil. Baru kacang masak rata dan tak hangit. Tips bagus ni kan.
Suhun pula, beli dan goreng. Guna api kecil juga sebab ianya cepat masak. Letak je dah masak. Senang kan. Sediakan sayuran untuk makan dengan mee soto ni. Bilas taugeh dengan air garam untuk elak lebam dan hidangkan. Tak perlu celur nanti tak rangup. Hiris daun bawang, daun sup, serta hidangkan bawang goreng.
Celur mee kuning atau bihun serta nasi impit, siap.
Dah siap dah kesemua hidangan yang diperlukan bagi lengkapkan resepi soto ayam ni. Terbaik.
Tinggal para tetamu untuk ambil dan perasakan ikut selera je. Selamat mencuba. Insyaallah sangat sedap resepi soto ayam ni.
Nak menang hadiah istimewa selain resepi dan tips mudah ? </>
Sertai Channel Telegram kami : https://t.me/daridapurdotcom