Untuk hari ini kami mahu berikan anda resepi western iaitu resepi spagetti carbonara dua versi iaitu menggunakan prego sos dan juga home made. Untuk prego, ianya tidak menggunakan cheese untuk bolehkan ibu sediakan menu spagetti kepada anak-anak yang alahan kepada produk tenusu atau tidak suka dengan cheese.
Sebelum pergi ke bahan resepi spagetti carbonara prego dan juga homemade, kita tengok dulu cara masak spagetti untuk dapatkan kesedapan yang maksima. Anda boleh guna apa-apa jenama yang anda suka.
Didihkan air dalam 2 liter dan apabila mendidih, masukkan dua sudu makan minyak zaitun bersama 1 sudu teh garam. Kacau sekejap dan baru masukkan spagetti dalam anggaran 7-8 minit.
Angkat serta tos spagetti yang siap dicelur dan masukkan dalam air ais. Cara ini untuk hentikan proses mencelur dan elakkan daripada mee spagetti menjadi terlalu lembik. Baru toskan dan alirkan air biasa.Siap untuk dihidangkan.
Jadi kita tengok pula versi resepi spagetti carbonara prego tanpa cheese hasil daripada sumbangan Puan Zila Rahim
Resepi spagetti carbonara prego tanpan cheese ini adalah sumbangan daripada Puan Zila Rahim.Untuk resepi ini ianya menggunakan meatball dan juga hot dog sebagai lauk. Kalau anda nak tukarkan kepada hirisan daging atau ayam pun boleh. Cuma pastikan ianya di masak terlebih dahulu dan barulah dimasukkan kembali dan resepi sos spagetti. Gunakan minyak yang sama untuk dapatkan bau yang sedap.
Bahan Resepi Spagetti Carbonara Prego Tanpa Cheese :
- 1-2 pek spagetti
- 3 tin sos prego carbonara
- 1 1/2 ulas bawang putih ditumbuk ( saiz sederhana )
- 1 ulas bawang besar Holland dipotong dadu ( saiz sederhana )
- 1 sudu teh lada hitam tumbuk
- 1/2 cawan susu full cream
- 6-8 biji meatball dipotong kecil
- 3-4 batang hotdog dipotong kecil
- Sedikit garam
- 1/3 cawan air
- Minyak
Cara Penyediaan Sos Spagetti Carbonara Tanpa Cheese :
#1: Panaskan minyak dalam anggaran 3 sudu makan dan tumis bawang putih tumbuk bersama bawang holland dipotong dadu. Pastikan ianya naik bau dan bawang masak sepenuhnya untuk dapatkan rasa manis bawang. Kalau tak masak, nanti rasa mentah dan pedas bawang.Tak sedap.
#2: Tambahkan lada hitam tumbuk,kacau sekejap dan masukkan 3 tin sos prego. Masukkan sekali susu full cream,air serta garam. Kacau dan panaskan seketika sebelum masukkan meatball dan hot dog. Tunggu hingga masak dan siap untuk dihidangkan.
Resepi ini sesuai untuk majlis hari lahir anak atau untuk dimakan bersama keluarga pun boleh.
Untuk resepi spagetti carbonara homemade versi kedua, ianya sungguh istimewa sebab tak menggunakan sos dalam tin, dihasilkan melalui bahan mentah dan segar.
Seperti biasa kalau anda suka lauk pilihan , masukkan sekali. Sebab ada yang suka makan dengan kupang la, dengan isi ayam atau daging. Jadi sesuaikan sendiri. Jangan risau untuk ubah ikut kreativiti sebab kita yang makan.hee
BACA DI LINK BARU : Resepi Sambal Nasi Lemak Yang Tahan 4-5 Hari Tanpa Risau.Ini Rahsia Peniaga.
Terima kasih kepada Puan Arieza Rieza untuk sumbangan spagetti carbonara resepi dengan sos homemade.
Bahan Resepi Spagetti Dan Sos Carbonara :
- 1 pek spagetti
- 2 sudu makan butter / marjerin
- 1 ulas bawang merah India saiz besar potong dadu
- 3 sudu makan tepung gandum
- 1/2 cawan air
- 1 liter susu full cream
- 1 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
- 1 sudu teh serbuk oregano
- 3 keping cheese
- Hirisan lada benggala merah dan hijau
- Hotdog/meatball atau lauk pilihan
- Sedikit garam
Cara Masak Resepi Spagetti Carbonara Homemade :
#1: Siapakan semua bahan. Panaskan butter dan biarkan mencair. Baru masukkan bawang merah India yang dipotong dadu dan saute sehingga perang dan masak. Bawang merah India besar ini lebih manis apabila dimasak berbanding dengan bawang besar Holland. Tambahkan tepung gandum dan kacau laju untuk elak berketul.
Masukkan lagi 1/2 cawan air dan kacau supaya tepung gandum bercampur elok.Baru tambahkan susu full cream semua iaitu 1 liter.
#2: Masukkan serbuk lada hitam, oregano,hirisan lada benggala, lauk pilihan serta cheese.Biarkan cheese mencair untuk sos spagetti yang pekat. Bila lauk pun dah masak, boleh masukkan secubit garam untuk seimbangkan rasa.
Kalau anda boleh dapatkan daun oregano pun lagi sedap berbanding guna serbuknya. Dekat Pasaraya NSK ada rasanya dijual sebalang daun-daun campuran ini.
Ada juga yang suka makan spagetti ni dengan kupang. Kalau anda suka, masukkan sahaja isi kupang dalam sos di atas dan masak sekali. Mesti sedap kan.
Dah siap, boleh la hidangkan dengan mee spagetti yang siap dieclur tu. Selamat mencuba resepi spagetti carbonara dua versi ni. Pilih je versi yang mana menjadi pilihan.
Nak menang hadiah istimewa selain resepi dan tips mudah ? </>
Sertai Channel Telegram kami : https://t.me/daridapurdotcom